Tuesday, August 2, 2011

setem kad raya

KUALA LUMPUR - Pada kadar promosi 50 sen sahaja, rakyat Malaysia boleh menghantar kad ucapan perayaan pelbagai saiz dengan berat tidak melebihi 50 gram ke seluruh destinasi di Malaysia.

Pos Malaysia telah melancarkan satu kadar rata bagi pengeposan kad ucapan perayaan utama di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Datuk Syed Faisal Albar (gambar) berkata, kemudahan teknologi informasi dan komunikasi pada masa ini seperti mel elektronik, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kad elektronik menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih alternatif itu.

"Namun masih ramai lagi yang menghargai sentuhan peribadi apabila menghantar ucapan melalui kad-kad ucapan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, kadar promosi itu bermula pada 1 Ogos lalu sehingga 31 Januari tahun depan.

Dengan promosi satu kadar rata ini, beliau berharap dapat menggalakkan lagi rakyat Malaysia menghantar kad ucapan melalui Pos Malaysia.

Promosi itu hanya untuk kad ucapan dalam negara sahaja dan bagi kad ucapan ke destinasi antarabangsa pula kadar pengeposan adalah mengikut caj biasa sama ada mengikut penghantaran laut atau udara.

Bagi memastikan kad ucapan Hari Raya Aidilfitri sampai tepat pada masanya, pelanggan Pos Malaysia dinasihatkan menge- pos kad ucapan mereka pada atau sebelum 24 Ogos ini.